Jumaat, 17 Disember 2021 | 3:42pm
Foto hiasan
Foto hiasan

5 ulat parkir warga asing antara dicekup

KUALA LUMPUR: Polis menahan 14 lelaki termasuk lima warga asing kerana disyaki mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram di sekitar Bukit Bintang dan Solaris, Mont Kiara, di sini, pada kelmarin serta semalam.

Menerusi Op Parkir Haram, sepasukan 11 pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menahan suspek berusia antara 21 hingga 49 tahun itu.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata turut dirampas sejumlah wang tunai yang diambil dari pemandu secara paksaan bagi membantu siasatan.

"Semua lelaki itu dibawa ke Balai Polis Trafik, Jalan Bandar dan akan didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mendesak orang lain berkaitan penjagaan kenderaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 119 (2) APJ 1987.

"JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan mencegah seterusnya membanteras sepenuhnya aktiviti parkir haram di sekitar Kuala Lumpur yang menjadi ketidakselesaan kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berita Harian X