Jumaat, 17 Disember 2021 | 3:01pm
Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat dipercayai PATI yang ditemui di perairan Tanjung Pungai ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musuh - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat dipercayai PATI yang ditemui di perairan Tanjung Pungai ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musuh - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Satu mayat ditemui, 16 masih hilang

KOTA TINGGI: Satu lagi mayat dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki bot pancung yang karam dibadai ombak dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, ditemui pagi tadi.

Mayat berkenaan ditemui nelayan terapung di perairan Tanjung Pungai, kira-kira jam 9.50 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata anggota menyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik mendapat maklumat berkenaan.

"Mayat masih dalam proses kenal pasti, namun kita percaya ia mangsa bot karam kerana lokasi ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Mayat ditemui kira-kira lima batu nautika dari lokasi bot berkenaan dipercayai karam.

"Ia membabitkan seorang lelaki dan ditemui dengan berpakaian lengkap namun tidak berkasut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musuh, di sini, hari ini.

Mayat berkenaan tiba di Jeti LKIM Sungai Musuh, kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.

Tanjung Pungai terletak kira-kira 23 kilometer dari Pantai Tanjung Balau, lokasi kejadian itu berlaku.

Penemuan mayat lelaki berkenaan membawa kepada mangsa korban bot karam itu meningkat kepada 20 orang, 16 lagi masih hilang dengan 14 mangsa terselamat.

Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu itu, bot pancung yang dipercayai membawa 50 PATI dari Lombok dan transit di Batam, karam dibadai ombak dan karam di perairan Tanjung Balau, di sini.

Berita Harian X