Khamis, 16 Disember 2021 | 7:56pm
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail. - Foto NSTP
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail. - Foto NSTP

Lelaki mati ditembak polis bersenjatakan senapang

KUCHING: Lelaki yang mati ditembak polis dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, di sini semalam bersenjatakan senapang patah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata untuk mempertahankan diri anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah suspek.

"Polis merampas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru hidup dalam kenderaan suspek.

"Suspek warga tempatan berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lalu berkaitan curi kenderaan, penipuan dan penyalahgunaan dadah.

"Polis akan menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh serta menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu supaya tidak menjejaskan siasatan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis menembak mati seorang lelaki yang cuba melarikan diri dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, kira-kira jam 7.20 malam.

Mengulas mengenai kejadian itu, Aidi berkata, ketika dikejar polis kenderaan dinaiki suspek merempuh lima kenderaan lain di lokasi kejadian.

"Untuk menjaga keselamatan orang awam, anggota polis trafik itu melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan dinaiki suspek menyebabkan kenderaan itu berhenti.

"Selepas itu, anggota bersama rakan setugasnya itu cuba menghampiri kenderaan suspek untuk pemeriksaan, bagaimanapun secara tiba-tiba mereka melihat suspek memegang senjata api dan untuk mempertahankan diri, anggota polis melepaskan dua das tembakan ke arah suspek," katanya.

Berita Harian X