Khamis, 16 Disember 2021 | 3:06pm
Pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan merompak wanita warga emas sehingga mangsa kerugian RM300,000.
Pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan merompak wanita warga emas sehingga mangsa kerugian RM300,000.

Tak mengaku rompak RM42,000, barang kemas nenek 88 tahun

KUANTAN: Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga emas sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM300,000 minggu lalu.

Muhammad Zackrim Musa, 23, yang beralamat di Pandan Indah di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Dia didakwa melarikan barangan milik Wok Ngah, 88, termasuk 24 utas gelang, lima utas rantai dan dua bentuk cincin serta wang tunai RM42,105 di belakang Maybank Taman Mas di sini pada 1 tengah hari 9 Disember lalu.

Muhammad Zackrim dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'ilah Harizan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi merayu jumlah itu dikurangkan.

"Pendapatan bulanan tertuduh sekitar RM1,300 sebulan dan digunakan untuk menanggung ibu serta dua adik," katanya.

Mohammed Mokhzani membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Berita Harian X