KUCHING: Polis menembak mati seorang lelaki yang cuba melarikan diri dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, di sini, kira-kira jam 7.20 malam tadi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, suspek warga tempatan berusia lingkungan 24 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
"Pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila suspek yang memandu kereta Proton Saga cuba melarikan diri selepas diarahkan berhenti untuk pemeriksaan kerana didapati memandu secara berbahaya.
Bagaimanapun, suspek yang tidak menghiraukan arahan polis cuba melarikan diri dan merempuh beberapa kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat Jalan Simpang Tiga.
Anggota polis kemudian cuba mendekati Proton Saga itu, tetapi suspek dikatakan cuba merempuh mereka untuk melarikan diri sekali lagi menyebabkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.