Selasa, 14 Disember 2021 | 4:57pm

Rugi RM14,000 kambing baka diserang harimau kumbang

MARANG: Penternak kambing baka mendakwa kerugian RM14,000 apabila tujuh daripada 14 haiwan ternakannya itu mati dipercayai dibaham harimau kumbang dalam tiga kejadian antara 2 Disember hingga Jumaat lalu.

Kejadian itu juga merisaukan penduduk kampung kerana sehingga ini haiwan liar itu belum masuk perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) tetapi dipercayai masih merayau berdasarkan tapak kaki yang ditemui.

Ngah Abd Ghani, 53, dari Kampung Bukit Kor, di sini, berkata, kambing yang mati antaranya adalah daripada baka Jamnapari, Kalahari dan Boer.

"Saya baru berjinak dengan penternakan haiwan ini sejak Februari lalu kerana mahu mengisi masa lapang yang terluang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

"Saya tidak menjangka percubaan pertama menceburi bidang ternakan ini diuji dengan kejadian ini, namun saya tidak serik dan kecewa kerana ini ujian Allah," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, kampung berkenaan tidak pernah didatangi binatang buas itu, menyebabkan dia bagaikan tidak percaya, haiwan terbabit di baham harimau.

Katanya, kejadian pertama pada 2 Disember lalu ketika melakukan rutin biasa di kandang yang dibina berhampiran rumahnya.

"Sebaik memasuki kawasan kandang, saya terkejut apabila mendapati seekor kambing berada berhampiran pintu kandang.

"Saya menjangkakan ia tidur, namun terkejut apabila terdapat darah dan kesan cengkaman dan gigitan di leher sebelum mendapati dua ekor lagi kambing menjadi mangsa binatang buas," katanya.

Ngah berkata, selepas kejadian itu, serangan kedua pula berlaku menyebabkan tiga lagi kambing ternakannya mati sebelum melaporkan kejadian itu kepada PERHILITAN Terengganu.

Katanya, pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan jabatan berkenaan, dipercayai semua haiwan berkenaan menjadi mangsa serangan harimau kumbang.

"Kandang ini dibina setinggi lapan kaki dan setiap petak pula setinggi empat kaki dan ia dipercayai dilakukan harimau kumbang kerana ia mampu memanjat," katanya.

Katanya, kejadian ketiga pada 10 Disember lalu membabitkan seekor kambing mati dan pemasangan jerat dilakukan bagi memerangkap haiwan berkenaan, semalam.

Menurut Ngah, berdasarkan pemantauan di sekitar kawasan berkenaan, pagi ini masih ada kesan tapak kaki haiwan berkenaan namun tidak memasuki perangkap.

Kejadian itu turut membimbangkan penduduk kampung berkenaan yang terpaksa mengehadkan pergerakan kerana bimbang ancaman haiwan.

Adik kepada Ngah, Noor Suryani, 39, berkata, keluarganya memilih untuk berkurung di rumah sebaik waktu senja.

Katanya, sebaik memasuki jam 7 malam, dia tidak membenarkan anak-anak bermain di luar rumah walaupun di kawasan pekarangan kediaman.

"Anak-anak sudah biasa main di pekarangan pada waktu petang tetapi apabila berlaku kes serangan harimau kumbang ini, saya jadi takut kerana kedudukan rumah kami yang berdekatan hutan.

Ngah Abd Ghani menunjukkan perangkap harimau kumbang berdekatan kandangnya tetapi belum mengena - Foto NSTP/Ghazali Kori
Ngah Abd Ghani menunjukkan perangkap harimau kumbang berdekatan kandangnya tetapi belum mengena - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X