Selasa, 14 Disember 2021 | 3:29pm
Pemandu kereta Proton Iswara berusia 55 tahun hadir ke Balai Polis Trafik Port Dickson bagi membantu siasatan kes memotong sebelah kiri lorong kecemasan. - Foto ihsan polis
Pemandu kereta Proton Iswara berusia 55 tahun hadir ke Balai Polis Trafik Port Dickson bagi membantu siasatan kes memotong sebelah kiri lorong kecemasan. - Foto ihsan polis

Tular potong barisan, penolong pengarah PBT serah diri

PORT DICKSON: Seorang lagi pemandu yang terbabit dalam kes memotong sebelah kiri lorong kecemasan hadir ke Balai Polis Trafik Port Dickson, di sini, untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata lelaki berusia 55 tahun itu bertugas sebagai penolong pengarah sebuah majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

"Lelaki itu hadir kira-kira jam 8.20 pagi tadi di Balai Trafik Port Dickson dan mengakui memandu kereta jenis Proton Iswara berkenaan.

"Setakat ini, seramai empat pemandu sudah menyerah diri kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Kita masih mengesan lima lagi pemandu atau pemilik kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial Facebook yang merakam sembilan kenderaan menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan di Jalan Sunggala-Sua Betong.

Aidi Sham berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan atau Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Berita Harian X