Isnin, 13 Disember 2021 | 10:25pm
 Antara kenderaan dikesan memotong menggunakan sebelah kiri lorong kecemasan di Jalan Sunggala-Sua Betong semalam.
Antara kenderaan dikesan memotong menggunakan sebelah kiri lorong kecemasan di Jalan Sunggala-Sua Betong semalam.

Potong barisan di lorong kecemasan, 3 pemandu serah diri

PORT DICKSON: Tiga daripada sembilan pemandu yang memotong sebelah kiri lorong kecemasan hadir ke Balai Trafik Port Dickson untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan yang juga pemandu kenderaan itu hadir pada jam 5 petang tadi.

"Mereka mengaku antara pemandu yang terbabit memotong barisan di Jalan Sunggala-Sua Betong pada 12 Disember lalu, hadir ke Balai Trafik Port Dickson untuk membantu siasatan.

"Ketiga-tiga lelaki berkenaan adalah pemandu kereta PROTON Wira, PERODUA Myvi dan PROTON Gen-2," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, tular satu rakaman video di media sosial Facebook yang merakam sembilan kenderaan menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan di Jalan Sunggala-Sua Betong.

Aidi Sham berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan masing-masing berusia 36, 46 dan 57 tahun bekerja sebagai pemandu lori, jurujual dan akauntan pihak berkuasa tempatan.

"Polis masih lagi mengesan enam pemandu atau pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan," katanya.

Berita Harian X