Isnin, 13 Disember 2021 | 12:21pm

Bekas pegawai bank didakwa terima RM3.41 juta ubah wang haram

BUTTERWORTH: Seorang bekas pegawai bank dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai RM3.41 juta.

Tertuduh, R Ganesan, 35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua 14 pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai pegawai penasihat kewangan didakwa menerima wang tunai keseluruhannya berjumlah RM3.41 juta daripada 12 individu yang ia adalah hasil daripada aktiviti haram.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Taman Inderawasih Perai, dekat sini antara 22 Ogos 2017 hingga 7 Oktober 2019.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam, Pyara Singh.

Ketika prosiding, Muhammad Syeqal memohon kepada mahkamah supaya jaminan tidak diberikan yang kemudiannya dibantah peguam tertuduh.

Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM140,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bekas pegawai bank, Ganesan Rajaya, 35, diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.41 juta. - Foto NSTP/Danial Saad
Bekas pegawai bank, Ganesan Rajaya, 35, diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.41 juta. - Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X