Isnin, 13 Disember 2021 | 12:12pm
Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat Nabil Haikal Nazarrudin, 21, yang dijumpai pagi ini selepas hilang ketika mandi di Sungai Perak, Gerik, kelmarin. - Foto JBPM PERAK
Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat Nabil Haikal Nazarrudin, 21, yang dijumpai pagi ini selepas hilang ketika mandi di Sungai Perak, Gerik, kelmarin. - Foto JBPM PERAK

Nabil lemas di Sungai Perak

GERIK: Mayat pekerja pembinaan jambatan di Kampung Sawa, di sini, yang dilaporkan hilang selepas mandi di Sungai Perak petang kelmarin, dijumpai pagi ini.

Mayat Nabil Haikal Nazarrudin, 21, dijumpai terapung oleh orang awam jam 8.41 pagi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia bersama rakannya mandi di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Farizul Anuar Razali, berkata berdasarkan maklumat daripada rakan, mangsa yang bekerja membina jambatan di lokasi berkenaan mandi sebelum didapati hilang.

"Operasi mencari dijalankan sebelum mayatnya dijumpai jam 8.41 pagi. Mayat dihanyutkan arus kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat. Anggota membawa mayat naik ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat disertai 16 pegawai dan anggota BBP Gerik dan Lenggong dibantu enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar selepas menerima panggilan kecemasan jam 5.44 petang kelmarin.

Katanya, operasi yang ditamatkan jam 10 pagi turut mendapat kerjasama polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Berita Harian X