Isnin, 13 Disember 2021 | 10:31am
Anggota Maritim Malaysia memeriksa bungkusan daun ketum yang dicampak ke dalam laut di perairan Pulau Tanjung Dendang, Langkawi. - Foto MARITIM MALAYSIA
Anggota Maritim Malaysia memeriksa bungkusan daun ketum yang dicampak ke dalam laut di perairan Pulau Tanjung Dendang, Langkawi. - Foto MARITIM MALAYSIA

Campak ketum RM125,000 ke laut elak ditahan

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis merampas 695 kilogram daun ketum bernilai RM125,000 yang dibuang kumpulan penyeludup ke dalam laut ketika melarikan diri di perairan Pulau Tanjung Dendang di sini, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata Maritim Malaysia sebelum itu mengesan sebuah bot bergerak menghala ke negara jiran dalam keadaan gelap dan mencurigakan, kira-kira jam 3.30 pagi.

"Berikutan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang dalam rondaan rutin diatur gerak ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot bertindak memecut laju ke arah perairan sempadan negara untuk meloloskan diri dan pada masa mencampak bungkusan plastik ke dalam laut.

"Pemeriksaan kemudian menemukan 57 bungkus plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 695kg dengan anggaran nilai RM125,000, dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran menerusi jalan laut," katanya.

Beliau berkata, harga pasaran daun ketum mencecah RM180 sekilogram di negara jiran dilihat menjadi faktor pendorong kepada aktiviti penyeludupan berkenaan, selain upah penghantaran lumayan antara RM350 hingga RM800.

"Hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Berita Harian X