Isnin, 13 Disember 2021 | 7:38am

Pemandu lori tangki CEL 5916 dicari

PORT DICKSON: Polis sedang mengesan pemandu lori tangki dipercayai memotong di lorong kecemasan di Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) dari arah Seremban seperti dirakamkan dalam video tular.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata lori tangki itu menggunakan nombor pendaftaran CEL 5916 dan didaftarkan di sebuah syarikat pengangkutan beralamat di Bukit Raja, Shah Alam.

Sehubungan itu beliau meminta pemandu atau pemilik kenderaan berkenaan hadir ke Balai Trafik Port Dickson bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Katanya, video berdurasi 16 saat yang merakamkan sebuah lori tangki menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan kenderaan dimuat naik di Facebook.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 11 Disember 2021 antara jam 2 hingga 4 petang di Kilometer 27 dan Kilometer 28 SPDH dari arah Seremban," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian, keadaan di lebuh raya berkenaan sesak.

Aidi Sham berkata, polis meminta pengguna jalan raya supaya mengamalkan etika pemanduan yang baik.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita harus mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan sikap toleransi supaya tidak mendatangkan kesulitan kepada pihak lain.

"Pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemandu atau penunggang yang mengambil jalan pintas dan berlagak sebagai 'raja' di lebuh raya bagi menjamin keselamatan pengguna lain," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 279 KK dan Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.

Berita Harian X