Sabtu, 11 Disember 2021 | 10:22pm
Keadaan kereta pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, petang tadi. - Foto ihsan pembaca
Keadaan kereta pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, petang tadi. - Foto ihsan pembaca

Anggota tentera, isteri maut kemalangan

BAGAN SERAI: Seorang anggota tentera dan isterinya maut, manakala dua anak mereka terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, Muhammad Anas Awang, 32, yang bertugas di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah, Kuala Lumpur dan isterinya, Siti Hafissah Zamri, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Mazda RX8 yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Taiping, Perak.

Beliau berkata, kenderaan mangsa yang berada di lorong kanan jalan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.

"Seterusnya kenderaan itu merempuh sebuah kereta Perodua Kancil dan Muhammad Anas dikatakan tercampak keluar daripada kenderaan dipandunya.

"Akibat perlanggaran kuat itu, mangsa dan isterinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anak mereka berusia enam dan lapan tahun serta pemandu dan penumpang Perodua Kancil tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mazuki berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X