Sabtu, 11 Disember 2021 | 1:59pm
Rokok seludup pelbagai jenama dirampas PGA Sabah di Lahad Datu, semalam.
Rokok seludup pelbagai jenama dirampas PGA Sabah di Lahad Datu, semalam.

Sindiket seludup rokok pasang plet kenderaan palsu tumpas

LAHAD DATU: Sindiket pengedaran rokok seludup dikesan menggunakan taktik baharu menggunakan orang ketiga sebagai penghantar berjaya ditahan ketika melalui kawasan Kampung Baburamah, di sini, semalam.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias, berkata Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu ditahan dalam operasi Op Kontraban pada jam 12.30 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati, rokok itu dibawa dari kawasan Batu 4, Tawau untuk dihantar ke kawasan Segama, di sini. Suspek mengaku itu adalah penghantaran kedua rokok seludup dengan bayaran RM500,000 bagi setiap perjalanan.

"Hasil pemeriksaan kenderaan, menemui 250 karton dan 575 rokok pelbagai jenama," katanya, hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek mengaku dihubungi seorang lelaki bernama 'Jan' yang memintanya mengambil kenderaan Proton Waja berkenaan yang berisi muatan rokok untuk dihantar ke Lahad Datu.

"Semua rokok dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM45,000 dan suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X