Sabtu, 11 Disember 2021 | 11:28am
Anak mangsa, Anilisida Abdul Manan@Zakaria, 40, menunjukkan tempat kejadian ayahnya, Abdul Manan@Zakaria Ismail, 71, yang ditemukan rentung dalam bilik tidurnya dipercayai mengalami sesak nafas berikutan asap tebal memenuhi bilik tidurnya menyebabkan dia gagal keluar menyelamatkan diri. dalam kebakaran di Kampung Tanjong Rendang, di sini pagi tadi. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Warga emas rentung

PASIR MAS: Lelaki warga emas ditemukan rentung dalam bilik tidurnya selepas rumahnya di Kampung Tanjong Rendang, di sini terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, mangsa Abdul Manan Ismail, 71, dipercayai mengalami sesak nafas berikutan asap tebal memenuhi bilik tidur menyebabkannya gagal keluar menyelamatkan diri.

Anak mangsa, Anilisida Abdul Manan, 40, berkata, ketika kejadian, dia sedang membuat kuih di dapur dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan dari luar.

"Saya dan suami segera keluar dari dapur dan ternampak api di dinding bilik tidur ayah berserta asap tebal. Saya segera mengejutkan tujuh anak sedang tidur dan keluar menyelamatkan diri.

Anggota polis bersama anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas mengangkat mangsa warga emas, Abdul Manan Ismail, 71, yang ditemukan rentung dalam bilik tidurnya. FOTO NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota polis bersama anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas mengangkat mangsa warga emas, Abdul Manan Ismail, 71, yang ditemukan rentung dalam bilik tidurnya. FOTO NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Suami cuba masuk ke bilik tidur ayah untuk menyelamatkannya namun asap terlalu tebal dan api marak menyebabkan dia terpaksa berundur," katanya ketika ditemui, hari ini.

Anilisida berkata, dia difahamkan bapanya ditemukan dalam keadaan cuba turun dari katil untuk keluar dari bilik namun mungkin disebabkan asap terlalu tebal dan mangsa sendiri mengidap asma, dia gagal menyelamatkan diri.

Kebakaran itu mengakibatkan mereka sekeluarga kini 'sehelai sepinggang dan trauma.

"Kami trauma dan sedih kerana ayah pergi dengan cara begitu, tapi kami reda," katanya.

Beliau berkata, jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemal sebaik proses bedah siasat di Hospital Pasir Mas selesai.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.34 pagi dan seramai 14 pegawai serta anggota daripada BBP Pasir Mas dan Tunjong tiba di lokasi.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat berstruktur kayu dan batu yang musnah 80 peratus.

"Ketika kami tiba, api sedang marak dan dimaklumkan ada mangsa yang juga warga emas terperangkap dalam rumah.

"Mangsa ditemukan sudah terbakar dan kerja mengeluarkannya dilakukan sebaik api berjaya dikawal pada jam 5.07 pagi sebelum padam sepenuhnya jam 6.23 pagi," katanya.

Berita Harian X