PASIR MAS: Dua lelaki ditahan polis ketika cuba menyeludup 85 biri-biri dan lapan kambing di Taman Tengku Anis, Lubok Jong di sini, tengah malam tadi.
Dalam serbuan jam 12.55 tengah malam itu, suspek iaitu pemandu lori berusia 24 dan kelindan 20 tahun, kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata dalam operasi itu pihaknya merampas 85 biri-biri dan lapan kambing serta sebuah lori jenis Isuzu dengan nilai keseluruhan lebih RM100,000.
Katanya, sebelum serbuan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas membuat rondaan di Jalan Repek - Lubok Jong terserempak dengan sebuah lori warna putih dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota kemudian mengekori dan berjaya menahan lori itu di tepi jalan Taman Tengku Anis dan pemeriksaan di belakang lori menemui 85 biri-biri dan lapan kambing yang bernilai RM63,100.
"Pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen permit permindahan haiwan ternakan dan haiwan itu disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal suspek, mengaku terbabit dengan penyeludupan biri-biri dan kambing dari Thailand yang diambil di kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti dan dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis.
"Siasatan juga mendapati haiwan itu dimiliki oleh seorang lelaki. Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya.