Khamis, 9 Disember 2021 | 10:54pm
Anggota bomba dan penyelamat mengusung mangsa yang terbabas ke dalam gaung di Kilometer 1, Jalan Tranum ke Bukit Fraser, hari ini. - Foto IHSAN BOMBA
Anggota bomba dan penyelamat mengusung mangsa yang terbabas ke dalam gaung di Kilometer 1, Jalan Tranum ke Bukit Fraser, hari ini. - Foto IHSAN BOMBA

Maut terjunam gaung lebih 15 meter

RAUB: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila motosikalnya terbabas ke dalam gaung di Kilometer 1, Jalan Tranum ke Bukit Fraser di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, motosikal ditunggang Razali Halimi, 49, dipercayai terbabas lalu menjunam ke dalam gaung sedalam 15.24 meter.

Ketua Polis Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama rakannya dalam perjalanan dari Raub ke Kuala Kubu Bharu, Selangor.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui selekoh sebelum terbabas lalu jatuh ke dalam gaung di kiri jalan.

"Berikutan nahas itu, mangsa yang cedera parah di kaki dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini, hari ini.

Kama Azural berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Raub berkata, mangsa dibawa naik menggunakan pengusung dan sistem takal tali sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X