Khamis, 9 Disember 2021 | 9:19pm
Harimau kumbang yang ditembak mati selepas cuba menyerang empat anggota PERHILITAN Perak. - PERHILITAN PERAK
Harimau kumbang yang ditembak mati selepas cuba menyerang empat anggota PERHILITAN Perak. - PERHILITAN PERAK

Harimau kumbang dipercayai serang remaja mati kena tembak

SUNGAI SIPUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak menembak mati seekor harimau kumbang jantan yang dipercayai menyerang remaja Orang Asli di Kampung Kelatap dekat Pos Pewor, Lasah, di sini, semalam.

Pengarahnya, Yusof Shariff, berkata haiwan dengan anggaran usia sembilan hingga 10 tahun itu ditembak mati pagi tadi sebaik sahaja ia meluru ke arah anggota PERHILITAN yang sedang membawa perangkap bersesuaian untuk dipasang.

Katanya, tujuan perangkap dipasang adalah bagi memerangkap haiwan yang dikatakan menyerang remaja berkenaan, iaitu selepas pihaknya dimaklumkan oleh Tok Batin perkampungan diduduki mangsa yang menjelaskan bahawa remaja itu juga tidak pasti spesis haiwan menyerangnya.

"Ketika menghampiri kawasan semak berhampiran kebun getah, empat kakitangan PERHILITAN yang ditugaskan dikejutkan dengan kehadiran harimau kumbang yang meluru ke arah seorang daripada mereka. Dalam keadaan terdesak dan cemas, seorang kakitangan melepaskan tiga das tembakan mengenai haiwan," katanya hari ini.

Beliau berkata, penelitian terhadap bangkai harimau kumbang berkenaan mendapati padanya turut terdapat banyak kesan tetakan, dipercayai menggunakan parang pada kepala serta paha yang dipercayai dilakukan ketika bergelut dengan mangsa, semalam.

"Sebelumnya di lokasi kejadian, kakitangan PERHILITAN turut menemui beberapa kesan tapak kaki dipercayai harimau dan juga kesan darah masih baharu pada rumput dan daun. Serangan melulu harimau kumbang terbabit menyebabkan seorang anggota terjatuh kerana terkejut, tapi tidak cedera," katanya.

Beliau berkata, turut ditemui pada bangkai haiwan itu adalah seutas jerat dawai kabel pada kaki kanan belakangnya yang cedera dipercayai penyebab harimau kumbang itu menjadi agresif dan menyerang manusia.

"Sehubungan itu PERHILITAN Perak menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan memasang jerat hidupan liar kerana ia akhirnya akan mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar berkenaan," katanya.

Yusof berkata, bangkai haiwan itu dibawa ke pejabat PERHILITAN Sungai Siput dan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk bedah siasat.

Berita Harian X