Khamis, 9 Disember 2021 | 8:43pm
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar menjalankan siasatan di lokasi pembuangan sisa berjadual di kawasan Industri Paka. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar menjalankan siasatan di lokasi pembuangan sisa berjadual di kawasan Industri Paka. - Foto NSTP/Rosli Ilham

JAS siasat sisa buangan berjadual di Paka

DUNGUN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu menjalankan siasatan berhubung pembuangan sisa berjadual secara haram di kawasan perindustrian Paka.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati tin kosong yang dibuang di kawasan itu ialah produk cat.

Sampel sisa buangan itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 34B(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

"JAS tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan pesalah akan dikenakan tindakan tegas," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, JAS mengalu-alukan maklumat orang awam bagi membolehkan tindakan pantas diambil bagi membanteras pencemaran alam sekitar dan salah laku pengurusan pembuangan berbahaya.

"Sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar bolehlah dilaporkan di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email aduan_k@doe.gov.my atau melalui portal e-aduan JAS di eaduan.doe.gov.my," katanya.

Berita Harian X