Rabu, 8 Disember 2021 | 7:04pm
Dua kilang di Tanjung Langsat dan Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang dikenakan tindakan gantung operasi, semalam. - Foto ihsan Facebook JAS
Dua kilang di Tanjung Langsat dan Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang dikenakan tindakan gantung operasi, semalam. - Foto ihsan Facebook JAS

2 kilang cemar alam sekitar digantung operasi

JOHOR BAHRU: Dua kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, serta Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, di sini, dikenakan tindakan gantung operasi kerana dikesan melakukan pencemaran alam sekitar, semalam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Facebook rasmi memaklumkan ia membabitkan sebuah premis didapati menjalankan aktiviti pirolisis tayar di Tanjung Langsat dan sebuah kilang berasaskan pengilangan logam di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang.

Katanya, pengesanan di Tanjung Langsat adalah hasil operasi bersepadu dijalankan JAS Johor Cawangan Pasir Gudang bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut mendapati sistem kawalan pencemaran udara di premis terbabit, tidak mengikut spesifikasi ditetapkan sehingga menyebabkan pencemaran bau ke kawasan persekitaran.

Katanya, premis itu dikenakan tindakan gantung operasi mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya. Tindakan tegas akan diambil jika berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang yang menjalankan aktiviti 'powder coating' pula dikenakan tindakan gantung operasi mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh JAS Johor.

Katanya, ia berikutan kegagalan alat kawalan pencemaran udara dan menyebabkan pencemaran habuk ke kawasan sekitar premis terbabit.

"Kilang itu juga diarahkan mengambil langkah pembaikan dengan segera bagi memastikan pencemaran yang berlaku dapat diatasi.

"Kilang yang sama turut dikompaun RM10,000 atas pelbagai kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"JAS amat memandang serius perkara ini. Mana-mana industri diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan pencemaran dengan apa cara sekalipun, dan sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 serta peraturan di bawahnya," katanya.

Berita Harian X