Rabu, 8 Disember 2021 | 1:33pm

12.9kg ganja ditemui di stor syarikat utiliti elektrik

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah jenis ganja seberat 12.9 kilogram (kg) bernilai RM32,315 yang ditemui dalam stor syarikat utiliti elektrik di Jalan Kerinchi, Pantai Dalam, di sini, semalam.

Hasil risikan, sepasukan anggota dari Balai Polis Pantai membuat pemeriksaan di stor itu pada jam 12.30 tengah malam, yang membawa kepada penemuan ganja dalam tiga beg.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 4,308 pengguna.

Beliau berkata, ketika ini Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Brickfields masih menjalankan siasatan sama ada kes itu membabitkan kakitangan syarikat itu, selain mengenal pasti ahli sindiket dan sumber bekalan dadah diperoleh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

"Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.

"Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi mengekang dan menghapuskan aktiviti pengedaran dadah khususnya di kawasan Brickfields," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X