Selasa, 7 Disember 2021 | 5:12pm
Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kes FELCRA membuat pelaburan RM150 juta dalam unit saham bank. NSTP/Hazreen Mohamad
Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kes FELCRA membuat pelaburan RM150 juta dalam unit saham bank. NSTP/Hazreen Mohamad

Kes bicara Bung, Zizie: Saksi ubah rakaman percakapan

KUALA LUMPUR: Tindakan saksi ke-24 pendakwaan mengubah rakaman percakapan pada awal tahun ini, mencetuskan ketegangan pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad di sini, hari ini.

Ketika sesi soalan utama pada prosiding November lalu, ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, memberitahu bahawa tiada permintaan komisyen sebanyak RM3.5 juta daripada Bung Moktar di Hotel Intercontinental pada 4 Mei 2015, sedangkan rakaman percakapan 2016 menunjukkan sebaliknya.

Hal itu membuatkan pasukan pendakwaan memohon Hakim Rozina Ayob untuk menganggap Madhi sebagai saksi belot (hostile witness) bagi mencabar kredibiliti saksi.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berhubung percanggahan keterangan lisan dan rakaman percakapan membabitkan perjumpaan di hotel pada 4 Mei 2015, Madhi menjawab: "Ya kerana beliau ada memberi keterangan yang lain kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mana tiada di sini.

Chin How: Kenapa ada pencanggahan?

Madhi: Kalau merujuk rakaman percakapan, saya ada bagi rakaman percakapan yang lain.

Kalau rakaman percakapan yang di depan saya memang bercanggah.

Chin How: Kenapa beri dua versi keterangan ketika diambil rakaman percakapan oleh SPRM?

Madhi: Terdapat beberapa versi keterangan kerana mungkin saya berasa tertekan sebab tidak pernah mengalami soal siasat di bangunan SPRM dan hanya memberikan keterangan menurut apa yang saya rasa dan ingat ketika itu.

Sebab itulah terdapat banyak keterangan.

Madhi kemudian bersetuju bahawa keempat-empat rakaman percakapan diambil antara 13 Julai dan 14 Oktober 2016 manakala rakaman percakapan yang selari dengan keterangan lisan diambil pada 4 Februari 2021.

Chin How: Setuju, kamu hanya datang beri rakaman percakapan berkenaan selepas lima tahun daripada rakaman percakapan terakhir (keempat)?

Madhi: Setuju, rakaman terbaru diambil selepas empat tahun empat bulan.

Chin How: Apabila beri rakaman percakapan terakhir pada 4 Februari 2021, ia selepas perbicaraan bermula di mahkamah?

Madhi: Setuju

Chin How: Setuju dengan saya, rakaman percakapan adalah rekaan kamu semata-mata.

Madhi: Tidak setuju.

Chin How: Setuju, rekaan itu hanya ada satu matlamat iaitu untuk menyelamatkan tertuduh?

Madhi: Tidak setuju.

Terdahulu pada prosiding itu, Madhi diminta membacakan semula keterangannya ketika rakaman percakapan oleh SPRM pada 2016.

Keterangan rakaman percakapan itu antaranya menyatakan, "Setelah mengambil kira perbelanjaan yang perlu kami tanggung dan komisen diterima, jumlah wang yang mampu dibayar kepada Datuk Bung Moktar hanya RM2.8 juta.

"Maka dengan itu, kami tidak mampu untuk membayar wang sebanyak RM3.5 juta seperti diminta oleh Datuk Bung Moktar sebelum ini.

"Apa yang saya faham, wang RM3.5 juta yang diminta oleh Datuk Bung adalah sebahagian komisyen yang saya dan ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, terima hasil daripada pelaburan yang dibuat oleh FELCRA berjumlah RM150 juta di dalam Public Mutual," katanya.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 63, yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara jam 12.30 tengah hari dan jam 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 43, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Rozina bersambung 20 Disember ini.

Berita Harian X