Selasa, 7 Disember 2021 | 4:33pm
Dua lelaki termasuk seorang yang bergelar Datuk menyerah diri di Balai Trafik IPD Port Dickson. - Foto ihsan PDRM
Dua lelaki termasuk seorang yang bergelar Datuk menyerah diri di Balai Trafik IPD Port Dickson. - Foto ihsan PDRM

Dua marsyal termasuk bergelar Datuk serah diri

PORT DICKSON: Lelaki bergelar Datuk antara dua marsyal motosikal berkuasa tinggi yang tular video aksi membuat kawalan dan memberhentikan kenderaan di jalan awam di sini menyerah diri semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata lelaki berusia 45 dan 49 tahun itu masing-masing hadir ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada jam 12.45 tengah hari dan 2.30 petang untuk memberi keterangan.

"Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun dengan seorang daripada mereka berpangkat Datuk hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan ditularkan di media sosial.

"Polis menahan kedua-dua lelaki itu sebaik mereka menyerah diri di Balai Trafik IPD Port Dickson petang semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, polis merampas dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan milik individu yang digunakan kedua-dua marsyal berkenaan.

"Pihak polis juga masih menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh terhadap kedua-dua lelaki ini jika wujud lain-lain kesalahan," ujarnya.

Kelmarin, media melaporkan kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang membuat aksi lagak marsyal di jalan awam selepas rakaman video berdurasi tiga minit tular di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan aksi marsyal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi melalui laluan itu.

Berdasarkan rakaman itu, dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.

Berita Harian X