Selasa, 7 Disember 2021 | 3:49pm
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) melawat pameran pada Majlis Pelancaran Memperkasakan Sistem C4i PDRM di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) melawat pameran pada Majlis Pelancaran Memperkasakan Sistem C4i PDRM di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias

Khidmat marsyal perlu kelulusan polis - Timbalan KPN

KUALA LUMPUR: Setiap kumpulan konvoi yang mahu menggunakan khidmat pengiring atau 'marsyal' perlu membuat permohonan dan mendapat kelulusan polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini seperti kemalangan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata setiap permohonan perlu disertakan alasan munasabah mengenai keperluan marsyal dan sebarang tindakan menjadi pengiring konvoi tanpa kebenaran polis adalah salah mengikut undang-undang.

"Mereka yang hendak berkonvoi kenderaan perlu ada kelulusan dan polis kemudian akan sertakan anggota untuk turut serta sebelum sebarang tindakan menahan mahupun melencongkan kenderaan boleh dilakukan oleh polis sendiri.

"Apa yang menjadi masalah sekarang adalah tindakan individu atau kumpulan untuk menggunakan khidmat marsyal tadi dibuat secara haram tanpa mendapat kelulusan polis dan mereka bertindak secara sendiri yang sudah terang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Memperkasa Sistem Integrasi, Komputer, Komunikasi, Kawalan dan Arahan (C4i) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Pada 26 November lalu, media melaporkan kenderaan pengiring konvoi atau 'marsyal' tidak dibenarkan sama sekali untuk mengawal lalu lintas tanpa pembabitan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, dipetik menegaskan penggunaan marsyal dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa jua program mestilah dengan kehadiran anggota polis.

Sebelum ini, polis menahan lima lelaki yang menjadi pengiring konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson.

Tular rakaman video berdurasi seminit 10 saat di laman sosial yang menunjukkan aksi marsyal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong pada 20 November lalu.

Mereka bertindak demikian dipercayai bertujuan memberi laluan kepada konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak melepasi lampu isyarat merah.

Dalam pada itu, Mazlan menasihatkan semua pihak terbabit aktiviti konvoi memainkan peranan untuk membuat permohonan berkaitan dan mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Kita juga tidak mahu apabila terlalu banyak aktiviti yang memerlukan khidmat marsyal hingga mampu mengundang kemalangan jalan raya dan membahayakan pengguna kenderaan lain," katanya.

Berita Harian X