Selasa, 7 Disember 2021 | 3:05pm
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) turut diperhatikan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan ketika melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Memperkasakan Sistem C4i PDRM di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) turut diperhatikan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan ketika melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Memperkasakan Sistem C4i PDRM di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias

Tindak balas polis kurang 13 minit dengan C4i

KUALA LUMPUR: Sistem Integrasi, Komputer, Komunikasi, Kawalan dan Arahan (C4i) digunakan polis berupaya mengurangkan masa tindak balas ke lokasi insiden kurang daripada 13 minit.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata tindak balas yang pantas akan memberi keyakinan dan kepercayaan kepada masyarakat, selain mengurangkan kadar jenayah.

Beliau berkata, sistem itu juga membolehkan anggota dan aset polis dikerahkan ke lokasi kejadian secepat mungkin.

"Usaha berterusan sejak 2002 bagi memperkasa dan memantapkan lagi sistem C4i ini juga harus diberikan pujian. Pada awalnya, Lembah Klang terpilih sebagai projek awal membabitkanlima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur dan tujuh IPD di Selangor.

"Kemudian, sistem ini dinaik taraf pada 2016 membabitkan tambahan sebuah lagi IPD di ibu negara serta tujuh IPD di Selangor. Buat masa ini, kita memberi fokus kepada pembangunan sistem C4i di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Bagi penggunaan sistem itu di negeri lain, ia hanya terhad bagi tujuan semakan lesen pemandu, rekod jenayah, orang hilang serta maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Memperkasa Sistem C4i di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Selain itu, Mazlan merakamkan ucapan tahniah kepada Syarikat SHT Engineering Sdn Bhd yang berjaya memperoleh kontrak penyelenggaraan sistem C4i yang bernilai RM73 juta berkuat kuasa 15 September lalu hingga 14 September 2024.

"Meskipun ia adalah kontrak penyelenggaraan, terdapat klausa yang membenarkan sistem itu diubah suai untuk penambahbaikan.

"Oleh demikian, besar harapan kami supaya syarikat dapat menyediakan teknologi terkini bersesuaian dengan keperluan semasa pasukan polis," katanya.

Berita Harian X