Isnin, 6 Disember 2021 | 6:57pm

Dakwaan Najib berkaitan pembabitan Zeti hanya andaian - pendakwaan

KUALA LUMPUR: Pendakwaan menyifatkan dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bekerjasama dengan Low Taek Jho atau Jho Low dalam rancangan jahat ahli perniagaan dalam buruan itu terhadapnya, hanyalah andaian.

Dalam afidavit balasan terhadap permohonan Najib bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC Sdn Bhd, pendakwaan menyatakan permohonan itu bertujuan melambatkan keputusan rayuan dengan membuka semula keseluruhan kes.

Tegas pendakwaan, semua keterangan sudah dikemukakan bagi diputuskan oleh mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan, di mana sebarang keterangan baharu tidak diperlukan bagi mahkamah untuk membuat keputusan dengan adil.

Pendakwaan melalui afidavit jawapan yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed, berkata apabila dinilai secara kumulatif, Najib gagal menunjukkan secara pasti bahawa Zeti mempunyai 'a long-standing relationship' (hubungan sejak sekian lama) dengan Jho Low.

Budiman berkata, Najib juga tidak dapat membuktikan bahawa Zeti bekerjasama dengan Jho Low untuk memudahkan hal ehwal syarikat 1Malaysia Sdn Bhd (1MDB) dan SRC.

Katanya, semua itu hanya satu andaian Najib berasaskan maklumat dengar cakap (hearsay) yang diperoleh daripada penerbitan dalam talian.

"Berhubung wang yang berasal daripada syarikat 1MDB dan diterima oleh suami Zeti, Tawfiq Ayman serta anak-anaknya, Alif Ayman dan Abdul Aziz serta syarikat yang dikenal sebagai CEIL, ia membabitkan transaksi 1MDB yang tidak ada kaitan dengan kes SRC.

"Tan Sri Zeti ditawarkan kepada pemohon di akhir kes pendakwaan, tetapi pemohon memilih untuk tidak memanggil beliau untuk memberikan keterangan atau untuk ditemuduga sebagai saksi bagi membuktikan kesnya.

"Saya menyatakan permohonan ini bertujuan melambatkan keputusan bagi rayuan dengan membuka semula keseluruhan kes dan perkara ini adalah nyata daripada perintah yang dipohon dalam permohonan (notis usul) dan kesan daripada permohonan itu," katanya.

Budiman berkata, Najib gagal menunjukkan bahawa terdapat keadaan yang luar biasa bagi memasukkan keterangan baharu sebelum mahkamah rayuan membuat keputusan.

Beliau turut menafikan dakwaan Najib bahawa pendakwaan menyembunyikan fakta yang relevan ketika perbicaraan di mahkamah tinggi dan pendengaran rayuan di mahkamah rayuan.

"Afidavit (Najib) tidak menunjukkan Tan Sri Zeti bekerjasama dengan Jho Low dalam apa-apa rancangan jahat yang dirancang oleh Jho Low terhadap pemohon (Najib).

"Afidavit itu juga tidak menyokong dakwaan pemohon yang tidak berasas bahawa Tan Sri Zeti membantu atau memudahkan rancangan Jho Low dengan menyembunyikan perkara di luar aturan dalam akaunnya.

"Sama ada Tawfik Ayman, Alif Ayman dan Abdul Aziz menerima wang dari 1MDB, ia tidak mempunyai kaitan dengan tuduhan berkaitan wang milik SRC yang berada di dalam akaun peribadinya," katanya.

Budiman selanjutnya berkata, keterangan yang dikatakan sebagai baharu itu tidak relevan kepada kes rayuan dan naratif derma Arab adalah rekaan yang sengaja sepertimana dibuktikan dan diputuskan oleh mahkamah tinggi.

Beliau berkata, penjelasan Menteri Undang-Undang dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas tidak menyokong dakwaan atau membuktikan bahawa pendakwaan secara aktif menyembunyikan perkara yang menyokong pembelaan, sebaliknya ia hanya menunjukkan siasatan berkenaan 1MDB yang tiada kaitan dengan tuduhan SRC.

"Oleh itu, permohonan ini adalah tidak bermerit dan gagal untuk menunjukkan justifikasi bagi membolehkan mahkamah menggunakan kuasa budi bicara untuk memasukkan keterangan tambahan.

"Saya dengan rendah diri memohon supaya permohonan di dalam notis usul ini ditolak, " katanya.

Bukti baharu yang dipohon oleh Najib untuk dimasukkan bagi tujuan rayuannya ialah keterangan viva voce (lisan) bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Pendengaran permohonan untuk memasukkan bukti berkenaan akan didengar mahkamah rayuan esok.

Najib merayu keputusan mahkamah tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

Berita Harian X