Isnin, 6 Disember 2021 | 4:23pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

24,000 saman nombor plat langgar spesifikasi

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengeluarkan 24,909 saman terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi sepanjang November.

Semua saman berkenaan dikeluarkan sepanjang Operasi Khas (Op Khas) nombor pendaftaran yang dilaksanakan oleh JSPT di seluruh negara bermula 1 November hingga 30 November lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, berkata pemilik motosikal adalah yang paling ramai melakukan kesalahan berkaitan nombor pendaftaran.

"Secara keseluruhan sebanyak 12,318 saman dikeluarkan terhadap pemilik motosikal manakala 10,549 saman terhadap pemilik kereta sepanjang 30 hari operasi ini dijalankan.

"Operasi ini merangkumi sekatan jalan raya (SJR), rondaan cegah kemalangan dan pemantauan berkala oleh petugas trafik di laluan utama pengguna jalan raya serta taman perumahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mat Kasim berkata operasi akan terus dipertingkatkan bagi mengesan pengguna jalan raya yang mempamerkan nombor pendaftaran jenis 'fancy' dan tidak mengikut spesifikasi.

"JSPT juga akan mengekalkan konsep 'zero tolerence' dan 'strike force' di kawasan tumpuan ramai sebagai strategi utama mengesan pemilik kenderaan yang mengubahsuai dan mempamerkan nombor pendaftaran fancy yang tidak mengikut arahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Beliau berkata selain kesalahan berkaitan nombor pendaftaran, sebanyak 49,528 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan.

Sebanyak 11 tangkapan turut dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, tiga berkaitan kesalahan Kanun Keseksaan dan 20 individu atas kesalahan dadah serta 111 sitaan kenderaan.

Berita Harian X