Isnin, 6 Disember 2021 | 4:21pm

Op Khas (Nombor Pendaftaran): 74,437 saman dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan 74,437 saman atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas (Nombor Pendaftaran) di seluruh negara selama sebulan, berakhir 30 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, berkata 7,874 saman kerana nombor pendaftaran 'fancy' atau tidak mengikut spesifikasi, tiada nombor pendaftaran (2,112), nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (17,035) dan lain-lain kesalahan (49,528).

Beliau berkata, perbandingan jumlah saman mengikut pengguna jalan raya menunjukkan pemilik motosikal melakukan kesalahan nombor pendaftaran terbanyak dengan 12,318 saman atau 49.45 peratus.

Katanya, sebanyak 10,549 saman kesalahan sama atau 42.35 peratus dikeluarkan kepada pengguna kereta, lori (300 saman atau 1.2 peratus), kenderaan pacuan empat roda (942 saman atau 3.78 peratus) serta lain-lain kenderaan (800 saman atau 3.21 peratus).

"Sepanjang operasi itu, 11 individu turut ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, tiga orang bawah kanun keseksaan, Akta Dadah Berbahaya (20) dan lain-lain (seorang).

"Kami juga menyita 111 kenderaan bagi mengenal pasti identiti pemandu, kenderaan dan menghentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987.

"Kenderaan disita boleh dituntut atau dilepaskan selepas identiti pemandu dan kenderaan dikenal pasti, kesalahan dilakukan dihentikan serta dilepaskan oleh mahkamah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mat Kasim berkata, Op Khas (Nombor Pendaftaran) bertujuan mendidik pemilik dan pengguna kenderaan supaya sentiasa mengikut peraturan, selain memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.

Katanya, operasi sekatan jalan raya, rondaan cegah kemalangan dan pemantauan berkala oleh petugas trafik di laluan utama serta taman perumahan akan terus ditingkatkan bagi mengesan pengguna jalan raya mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"JSPT juga akan mengekalkan konsep 'zero tolerance' (tiada tolak ansur) dan 'strike force' (penguatkuasaan penuh) di kawasan tumpuan orang ramai.

"Ia strategi utama bagi mengesan kenderaan mengubah suai dan mempamerkan nombor pendaftaran 'fancy' yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Dalam pada itu, Mat Kasim menasihatkan pemilik kenderaan supaya segera menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi dan kegagalan berbuat demikian akan membawa kepada tindakan saman serta pertuduhan di mahkamah.

"Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (4) APJ 1987 dibaca bersama Seksyen 119 akta sama," katanya.

Berita Harian X