Isnin, 6 Disember 2021 | 2:34pm
Datin Seri Rosmah Mansor hadir bagi mendengar keputusan rayuan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan di Mahkamah Rayaun Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Datin Seri Rosmah Mansor hadir bagi mendengar keputusan rayuan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan di Mahkamah Rayaun Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Rosmah minta maaf kerana tak hadir mahkamah minggu lalu

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor memohon maaf kepada Mahkamah Rayuan kerana gagal hadir dalam prosiding rayuannya, minggu lalu, bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah dihadapinya dan menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Rosmah melalui peguamnya, Datuk Jagjit Singh memaklumkan kepada panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Rosmah hadir di mahkamah hari ini dengan memakai baju kurung moden berwarna putih berbunga merah jambu.

"Kami menyatakan permohonan maaf yang mendalam kepada Yang Arif kerana ketidakhadiran perayu (Rosmah), minggu lalu.

"Beliau dengan ikhlas memohon maaf kepada mahkamah," kata Jagjit sambil memandang anak guamnya.

Pada minggu lalu, Mahkamah Rayuan melaksanakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan waran tangkap Rosmah selepas beliau gagal hadir pada prosiding berkenaan.

Panel memberikan peluang kepada Rosmah dan memerintahkannya hadir pada prosiding hari ini.

Dalam prosiding pada 2 Disember lalu, Jagjit menjelaskan, Rosmah masih berada di Singapura kerana terdapat perubahan kepada jadual memandangkan perubahan peraturan kuarantin mengikut Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Berita Harian X