Ahad, 5 Disember 2021 | 9:29pm
Mohd Roze menunjukkan ganja yang dirampas selepas penahanan seorang lelaki di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tikam Batu, Khamis lalu. - Foto polis
Mohd Roze menunjukkan ganja yang dirampas selepas penahanan seorang lelaki di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tikam Batu, Khamis lalu. - Foto polis

'Gerak awal pagi ingat polis tiada'

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki serta merampas dadah disyaki ganja seberat lebih 164 kilogram dengan anggaran bernilai RM412,000 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tikam Batu menghala ke Kuala Lumpur dekat sini, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata lelaki berusia 34 tahun yang berasal dari Segamat, Johor ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan pada jam 5.45 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut polis menemui tujuh guni plastik lutsinar dengan setiap satu dibalut kertas putih disyaki mengandungi ganja.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas pengaruh dadah namun dia mempunyai rekod lampau bersabit satu kes jenayah.

"Kita percaya bekalan dadah terbabit untuk pasaran di Selatan dan sekiranya terlepas ia dapat menampung bekalan buat kira-kira 16,000 penagih.

"Setakat ini, suspek direman hingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media, hari ini.

Polis juga sedang menyiasat kemungkinan ada ahli sindiket lain yang turut bersekongkol dengan suspek dalam aktiviti penyeludupan dadah berkenaan.

Difahamkan, suspek sengaja merancang perjalanan menghala ke Selatan ketika awal pagi dengan beranggapan polis tidak berjaya mengesannya.

Berita Harian X