Ahad, 5 Disember 2021 | 8:34pm

'Pasembur ada, dadah pun ada'

KULIM: Jual pasembur sulam dadah. Itu dilakukan seorang lelaki yang mencari pendapatan sampingan mengedar dadah dengan berselindung sebalik perniagaan gerai makanan diusahakannya sejak hampir setahun lalu.

Bukan sahaja mengedar dadah, lelaki berusia 40 tahun itu turut dikesan 'melayan' kepala dengan menghisap syabu bersama isterinya berusia 30 tahun, seorang warga Indonesia.

Perbuatan suami isteri terbabit terbongkar apabila sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim melakukan serbuan di sebuah rumah di Labu Besar, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata serbuan dilakukan hasil risikan dan juga maklumat awam itu dilakukan jam 4 petang dan pihaknya merampas dua paket plastik lutsinar berisi heroin seberat 925 gram (g) dan lapan paket plastik disyaki mengandungi syabu seberat 660g.

"Pemeriksaan air kencing mendapati suami isteri terbabit positif methamphetamine dan polis turut menyita sebuah Toyota Camry, skuter Yamaha Avantiz dan wang tunai RM764.

"Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit kes mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1957 manakala isterinya yang tidak bekerja didapati sudah luput tempoh pas lawatan sosial pasport," katanya hari ini.

Menurutnya, suspek didapati mengedar dadah kepada pelanggan dikenalinya sahaja dan dengan cara itu ia membolehkan dia mendapat wang tambahan selain menjual pasembur.

"Pasangan berkenaan kini direman selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sazalee menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan suami isteri dalam serbuan di rumah mereka di Labu Besar, Khamis lalu. - NSTP/Izad Thaqif Hassan
Sazalee menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan suami isteri dalam serbuan di rumah mereka di Labu Besar, Khamis lalu. - NSTP/Izad Thaqif Hassan
Berita Harian X