Ahad, 5 Disember 2021 | 8:13pm
- Foto PGA8
- Foto PGA8

Duda, janda ditahan cuba seludup mercun

PASIR MAS: Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menahan sepasang kekasih berstatus duda dan janda dipercayai cuba menyeludup masuk mercun dan barangan makanan dari Thailand, di Kampung Lubok Chekok, Banggol Chicha, malam tadi.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA8, Deputi Superintendan K Ramesh, berkata kedua-duanya yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan sepasukan anggota PGA yang menjalankan Op Benteng COVID dalam serbuan jam 10 malam.

"Terdahulu, anggota PGA8 terserempak dengan sebuah lori dalam semak dan apabila dihampiri didapati ada seorang lelaki sedang menyusun kotak di belakang lori manakala seorang wanita di kerusi penumpang hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan kemudian menemui 70 guni dan 23 kotak mengandungi pelbagai mercun, 3,240 kotak mi segera dan 40 kotak serbuk teh buatan negara jiran.

Ramesh berkata, pasangan itu bersama keseluruhan barangan rampasan dianggar bernilai RM329,860 termasuk lori dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983. – BERNAMA

Berita Harian X