CAMERON HIGHLANDS: Tiga hari selepas dua kenderaan tertimbus tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) yang mengakibatkan dua maut, satu lagi kejadian sama dilaporkan di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang, malam tadi yang menyebabkan dua kenderaan rosak.
Kejadian kira-kira jam 11.30 malam berdekatan bengkel kenderaan di situ bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kerosakan premis.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Cameron Highlands, Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.50 pagi tadi dan terus ke lokasi.
"Anggota APM terus melaksanakan operasi memotong pokok yang tumbang bagi mengeluarkan kenderaan yang terjejas akibat runtuhan tanah. Tiada mangsa di lokasi kerana kenderaan yang rosak sedang dibaiki di bengkel berkenaan. Kes ini diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini hari ini.
Katanya, operasi di tempat kejadian juga membabitkan anggota bomba, polis dan petugas daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam kejadian Khamis lalu, seorang pemandu lori sayur dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) meninggal dunia selepas kenderaan mereka tertimbus tanah runtuh.