Sabtu, 4 Disember 2021 | 5:43pm

Lelaki didakwa diheret pengawal keselamatan maut

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang lelaki maut selepas tular video mendakwa mangsa diheret pengawal keselamatan dan ditinggalkan di tepi jalan di Ara Damansara, Petaling Jaya sebelum meninggal dunia akibat strok haba.

Siasatan polis mendapati insiden di kawasan berkenaan pada jam 6 petang 15 Oktober lalu dan mangsa berusia 59 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya. Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata siasatan di tempat kejadian dilakukan oleh unit forensik polis, manakala saksi bebas termasuk pengawal keselamatan berkaitan sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, mayat mangsa ditempatkan di Unit Patalogi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat dan mengenal pasti punca kematian.

"Bedah siasat dijalankan dan hasil laporan awal menunjukkan tiada kesan kecederaan fizikal dan dalaman yang menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan lengkap untuk mengesahkan punca kematian.

"Polis juga masih menjalankan siasatan berkaitan insiden itu sama ada mangsa sudah meninggal dunia atau tidak ketika diheret keluar pengawal keselamatan.

"Sebab itu, kami tunggu laporan penuh bedah siasat dan toksikologi sebelum membuat sebarang kesimpulan berkaitan kes itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tular dua video masing-masing berdurasi seminit 31 saat serta seminit lapan saat di Facebook dan Twitter menunjukkan dua lelaki dipercayai pengawal keselamatan mengheret seorang lelaki ke tepi jalan.

Mohamad Fakhrudin berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkaitan jika wujud unsur jenayah dan kecuaian dalam laporan penuh bedah siasat serta toksikologi mangsa.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dan memastikan kesahihan berita sebelum menularkannya.

"Tindakan penularan berita benar di laman sosial boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Berita Harian X