Sabtu, 4 Disember 2021 | 8:05am
Foto hiasan
Foto hiasan

Kanak-kanak lima tahun mati disyaki didera

ISKANDAR PUTERI: Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga meninggal dunia, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata polis Johor Bahru Selatan menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) mengenai kematian kanak-kanak itu, kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama dua suspek iaitu ibu kandung dan bapa angkatnya, selain seorang adik dan kakak di Taman Nusa Bestari, di sini.

"Pemeriksaan ke atas badan mangsa terdapat kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan, mungkin akibat didera.

"Petugas forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor menjumpai getah paip di singki dalam bilik air, batang kayu dan 'poly pipe' di atas sofa dan kesan darah (swab) di rumah suspek. Semua barang kes ini dirampas.

"Pemeriksaan awal oleh petugas HSAJB terhadap mangsa mendapati mangsa sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini selepas keputusan ujian calitan COVID-19 mangsa diperolehi.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun ditahan masing-masing di Taman Nusa Bestari dan HSAJB bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau yang sama, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah. Permohonan reman akan dibuat hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Berita Harian X