Khamis, 2 Disember 2021 | 10:34pm
Dua pemandu maut dalam kejadian tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) tengah hari tadi. - Foto BOMBA
Dua pemandu maut dalam kejadian tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) tengah hari tadi. - Foto BOMBA
Anggota Bomba melakukan kerja mencari dan menyelamat dalam kejadian tanah runtuh selepas Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota Bomba melakukan kerja mencari dan menyelamat dalam kejadian tanah runtuh selepas Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, hari ini. - Foto BERNAMA

Pemandu lori, MPV maut

IPOH: Dua lelaki disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley, di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata mangsa yang terkorban ialah pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, manakala seorang lagi ialah pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang belum dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih berusaha membawa keluar mangsa daripada kenderaan dalam runtuhan itu dan akan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Katanya, pemandu lori sayur itu dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands, manakala pemandu MPV terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang.

Mior Faridalathrash berkata, MPV itu ditemukan dalam keadaan terbalik dengan bahagian tayarnya di atas.

"Apabila semua mangsa sudah berjaya dikeluarkan, barulah kita serahkan kepada Jabatan Kerja Raya bagi melakukan kerja membuka (membersih) kembali jalan ini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Sementara itu, Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman, berkata mayat kedua itu berjaya dikeluarkan jam 9.39 malam tadi.

"Hanya terdapat seorang sahaja mangsa di dalam MPV berkenaan yang mana mangsa.

"Identiti mangsa kedua itu belum lagi diketahui, namun dianggarkan dalam lingkungan 50 tahun dan berasal dari Klang, Selangor.

"Mayat mangsa kedua itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk dibedah siasat. Bomba masih dalam usaha mengeluarkan mayat mangsa pertama iaitu pemandu lori," katanya.

Terdahulu, jurucakap JBPM Perak berkata, tiga kenderaan dikenal pasti ditimbus dalam insiden itu dengan satu lagi kenderaan dipercayai sebuah kereta.

Berita Harian X