Khamis, 2 Disember 2021 | 2:28pm

PGA rampas 100 tan kelapa cuba diseludup

RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 100 tan kelapa bernilai RM200,000 di dua lokasi berbeza di daerah Tumpat, disyaki cuba seludup melalui jalan sungai ke negara jiran.

Rampasan itu adalah kes pertama membabitkan penyeludupan kelapa yang berjaya dikesan pasukan PGA di pangkalan haram Simpangan serta Kampung Bunohan, Tumpat pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof, berkata ia pihaknya turut merampas tiga treler digunakan untuk mengangkut kelapa.

"Hasil siasatan mendapati kesemua kelapa yang dirampas dibawa daripada Johor dengan muatan yang banyak untuk satu perjalanan sekitar 30 tan sehingga 40 tan bagi sebuah treler sebelum diserahkan kepada individu yang sedia menunggu di sempadan.

"Jarang sekali pihak PGA merampas kelapa, namun kegiatan terbabit tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan, malah tiga pemandu yang ditahan berusia 28 sehingga 49 tahun tidak mengetahui aktiviti mereka itu menjadi suatu kesalahan.

"Semua treler ini membawa masuk kelapa ke pangkalan haram yang ditetapkan sebelum diseludup menggunakan perahu ke tebing negara jiran untuk dijual di sana," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara PGA, Lubok Stol, di sini hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Mat Shukor berkata, semua rampasan terbabit diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk disiasat mengikut Peraturan 4(2)(b) Akta FAMA 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973.

"Permintaan tinggi terhadap kelapa daripada negara jiran menjadi antara faktor utama berlaku penyeludupan ini, selain dipercayai harga kelapa di sana juga lebih mahal berbanding dari Malaysia.

"Selepas PGA mengambil alih tugas untuk Ops Benteng COVID-19 di sempadan Malaysia-Thailand sejak 17 November lalu, pihak kami berjaya menumpaskan 57 kes penyeludupan dengan nilai rampasan lebih RM4.8 juta.

"Daripada nilai berkenaan, rampasan kelapa adalah yang paling tinggi menjadikan ia antara kes penyeludupan baru yang perlu diambil perhatian agar tidak terus membolosi sempadan negara begitu sahaja," katanya.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof menunjukkan rampasan 100 tan kelapa bernilai RM200,000 di Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof menunjukkan rampasan 100 tan kelapa bernilai RM200,000 di Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X