Khamis, 2 Disember 2021 | 1:24pm
Tertuduh Ajid Abdinah, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah Tawau selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen. Foto NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Tertuduh Ajid Abdinah, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah Tawau selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen. Foto NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Kakitangan JPN didenda RM3,000 guna dokumen palsu

TAWAU: Seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, selepas mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen Borang Daftar Kelahiran (Borang A) enam tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ajid Abdinah, 44, selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh menjelaskan denda.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 20 Februari tahun lalu, terhadap tuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, dalam hujahnya berkata kesalahan tertuduh membabitkan pengeluaran Sijil Kelahiran JPN yang berkepentingan awam, selain membabitkan keselamatan negara.

Jelasnya, pihak pendakwaan memandang serius kes penggunaan dokumen palsu yang kerap berlaku, selain tertuduh dalam kes ini adalah kakitangan JPN yang sepatutnya sedia maklum berkaitan prosedur pengeluaran sijil kelahiran.

"Tertuduh telah melanggar amanah yang diberikan dalam tugasnya dengan menggunakan dokumen palsu bagi mengeluarkan sijil kelahiran dan perbuatan tertuduh telah mencemarkan nama baik penjawat awam di mata masyarakat," katanya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan mengambil kira faktor kemungkinan akan berdepan kehilangan pekerjaan.

"Saya tiada apa-apa niat buruk ataupun mahu melanggar undang-undang selain sudah menyesal insaf. Kesalahan yang saya lakukan ini adalah kerana semata-mata kasih sayang terhadap anak ini," katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengemukakan permohonan mendapatkan sijil kelahiran bagi seorang kanak-kanak perempuan yang didaftarkan sebagai anak tertuduh, di pejabat JPN Cawangan Lahad Datu, pada 20 April 2015.

Tertuduh menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan sijil lahir dan resit bagi urusan MyKid.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati anak yang didaftarkan atas nama Adrianna Alanni Binti Ajid adalah anak kandung kepada abang tertuduh iaitu Abdul Sharif Abdinah, manakala salinan Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Anak dipalsukan.

Berita Harian X