Rabu, 1 Disember 2021 | 5:05pm
Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian selepas menolak rayuan wanita warga British yang tinggal di negara ini. - Foto NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian selepas menolak rayuan wanita warga British yang tinggal di negara ini. - Foto NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

Orang Islam tidak boleh jadi pihak pertikaian perkahwinan bukan Islam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan individu beragama Islam tidak boleh dinamakan sebagai pihak dalam pertikaian perkahwinan, membabitkan pasangan bukan Islam.

Dalam penghakiman majoriti 2-1, panel dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas menolak rayuan wanita warga British yang tinggal di negara ini, hanya dikenali sebagai AJS.

Ketika membacakan penghakimannya yang disokong oleh Hakim Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Tengku Maimun berkata, Parlimen dengan jelas menyatakan bahawa Seksyen 3(3) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) tidak terpakai kepada orang Islam.

Panel mengambil maklum LRA hanya terpakai bagi pengecualian dalam situasi salah satu pasangan dalam perkahwinan sivil memeluk Islam dan pasangan yang tidak menukar agama memfailkan petisyen mengikut akta terbabit.

Hakim itu merujuk kepada frasa melalui seksyen dalam akta berkenaan yang menyebut "Akta ini tidak terpakai kepada individu beragama Islam".

Tengku Maimun berkata, ini selaras dengan prinsip pemisahan bidang kuasa di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, dalam urusan pertikaian untuk orang Islam dan bukan Islam.

Menurut Tengku Maimun, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan mahkamah sivil tiada bidang kuasa ke atas perkara yang berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

"Dalam penghakiman saya, perkataan 'Akta ini tidak terpakai kepada individu beragama Islam' di bahagian pertama mengecualikan seorang yang beragama Islam secara utuh daripada LRA dan ia tidak sepatutnya ditafsirkan dengan bermaksud, bahawa ia merujuk kepada seorang beragama Islam yang berkahwin di bawah undang-undang Islam kerana perkahwinan di bawah undang-undang Islam tertakluk pada bahagian kedua Seksyen 3(3).

"Selanjutnya, Parlimen tidak menggubal undang-undang dengan sia-sia dengan memasukkan perkataan 'atau' jika hasratnya dalam menggubal Seksyen 3(3) LRA bukanlah untuk mengecualikan pemakaian peruntukan LRA sepenuhnya, kepada orang Islam.

"Maksud jelas perkataan 'Akta ini tidak terpakai untuk individu beragama Islam' tiada sebarang pengecualian. Satu-satunya pengecualian terdapat pada bahagian keempat Seksyen 3(3), di mana pihak dalam perkahwinan sivil sudah memeluk Islam, seperti yang termaktub dalam Seksyen 51 LRA," katanya.

Sebelum ini, portal berita melaporkan, AJS merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Julai lalu yang memutuskan individu beragama Islam tidak boleh dijadikan sebagai pihak dalam pertikaian undang-undang, membabitkan perkahwinan pasangan bukan Islam.

Rayuan AJS itu berhubung permohonannya untuk menamakan seorang wanita Islam dikenali sebagai JMH sebagai pihak dalam petisyen perpisahan kehakiman (langkah untuk bercerai) terhadap suaminya, seorang lelaki warga Australia dikenali sebagai RIS.

Dalam petisyen difailkan Julai tahun lalu, AJS menyatakan perkahwinannya dengan RIS sudah tidak dapat diselamatkan lagi kerana lelaki itu menjalin hubungan sulit dengan JMH.

Keputusan mahkamah rayuan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan RIS dan JMH sebagai responden hanya boleh dnamakan dalam petisyen perceraian dan bukannya perpisahan kehakiman.

JMH memohon namanya sebagai responden dikeluarkan daripada petisyen itu dengan alasan LRA tidak terpakai kepada orang Islam.

Sementara itu, dalam penghakiman menentang, Hakim Datuk P Nallini berkata, Seksyen 3(3) LRA tidak menghalang seorang muslim daripada dinamakan sebagai satu pihak dalam pertikaikan perkahwinan bukan Islam.

Beliau berkata, mahkamah diberi kuasa mengikut Seksyen 17(a) Akta Tafsiran untuk melihat kepada niat dan tujuan perundangan apabila mentafsir peruntukan seperti yang terdapat dalam LRA.

Katanya, hasrat dan tujuan LRA, pada keseluruhannya, tidak terpakai kepada perkahwinan di antara orang Islam, sebaliknya perkahwinan bukan Islam.

"Frasa 'tidak terpakai kepada orang Islam' mengikut Seksyen 3(3) perlu ditafsir dalam konteks tujuan dan objektif LRA, iaitu penguatkuasaan perkahwinan monogami dan penyediaan rangka kerja undang-undang bagi perkahwinan dan pembubaran perkahwinan orang bukan Islam.

"Ia semestinya termasuk memasukkan pihak ketiga dalam petisyen perpisahan kehakiman, yang secara asasnya membabitkan undang-undang prosedur, di mana pihak ketiga hanya sampingan kepada perkara utama yang dipertikaikan, iaitu pembubaran perkahwinan antara pasangan bukan Islam.

"Dalam erti kata lain, oleh kerana bukan perkahwinan monogami mahupun kerangka undang-undang berhubung perkahwinan yang dimohon untuk dikuatkuasakan ke atas pihak ketiga, tindakan menamakan pihak ketiga dalam petisyen itu tidak melanggar seksyen 3(3) LRA," katanya.

AJS diwakili peguam Ravi Neeko, manakala Kiran Dhaliwal bertindak bagi pihak JMH.

Berita Harian X