Rabu, 1 Disember 2021 | 11:49am
Ismail (kiri), Mohd Fuzi (dua dari kanan) dan Ramli (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh. - Foto ihsan pembaca
Ismail (kiri), Mohd Fuzi (dua dari kanan) dan Ramli (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh. - Foto ihsan pembaca

3 lelaki termasuk dua beranak didakwa membunuh

IPOH: Tiga lelaki, termasuk dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di Fla Ashby, Jalan Asman Shah, Sungai Senam, di sini, minggu lalu.

Ramli Lot, 60, dan anaknya, Ismail Rizwan, 34, dan seorang lagi lelaki, Mohd Fuzi Ab Manaf, 47, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nor Azrin Liyana Mohd Darus.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa membunuh Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin di sebuah pasar pagi di Jalan Hospital Flat, di sini, antara jam 9.05 hingga 11.05 pagi, pada 25 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.

Terdahulu, Mohd Hakim memberitahu Ramli pernah didiagnosis menghidap tekanan perasaan dan gangguan emosi, selain pernah menjalani pembedahan membuang tumor di kepala pada tahun 2013.

Katanya, tertuduh sepatutnya menghadiri temujanji menjalani prosedur imbasan pengimejan magnetik resonan (MRI) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pada 27 Disember ini.

Berikutan itu, Sufi Aiman memohon Ramli dirujuk kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) untuk pemerhatian dan penilaian kesihatan mental.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 3 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat dan mental.

Dalam kejadian 25 November lalu, Muhammad Noor Faqih maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka sehingga berlaku pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada pergelutan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Berita Harian X