Selasa, 30 November 2021 | 5:25pm
Mohd Yusrizal menunjukkan laporan dibuat 17 mangsa penipuan ejen pelancongan ke Langkawi. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Mohd Yusrizal menunjukkan laporan dibuat 17 mangsa penipuan ejen pelancongan ke Langkawi. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

17 individu ditipu ejen pelancongan ke Langkawi

ALOR SETAR: Seramai 17 individu masing-masing kerugian RM2,000 selepas ditipu ejen sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej menarik ke Pulau Langkawi.

Semua mereka terbabit dikatakan sepatutnya bercuti ke Pulau Langkawi pada 13 November lalu, namun kecewa apabila pakej percutian dijanjikan itu sebenarnya tidak wujud.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff, berkata pihaknya menerima laporan daripada semua mangsa terbabit pada 23 November lalu iaitu 10 hari selepas kejadian berkenaan.

Beliau berkata, mangsa yang berusia belasan tahun hingga 60 tahun itu adalah kumpulan keluarga dan individu perseorangan yang mendakwa ditipu ejen syarikat pelancongan yang beroperasi di Sungai Petani.

"Semua mangsa dikatakan menunggu di Terminal Feri Penumpang di Kuala Kedah seperti dijanjikan pada 13 November lalu, namun gagal menghubungi ejen terbabit.

"Susulan itu, mereka kemudian membeli semula tiket di kaunter untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi dengan harapan tempahan inap desa termasuk pengangkutan di sana melalui syarikat pelancongan terbabit sudah disediakan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di Langkawi, mereka dimaklumkan tiada tempahan bilik di inap desa di Pantai Chenang, Langkawi dan kereta sewa seperti dijanjikan.

Katanya, lebih malang lagi, ejen yang menguruskan percutian mereka itu menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

"Semua mangsa sudah menyerahkan wang melalui transaksi bank kepada ejen berkenaan menyebabkan keseluruhan kerugian mencecah lebih RM30,000.

"Berikutan itu, mereka membuat laporan di pejabat CAKE untuk memaklumkan kejadian itu pada 23 November lalu," katanya.

Mohd Yusrizal berkata, syarikat pelancongan itu dipercayai beroperasi di daerah Kuala Muda.

Beliau berkata, semua mangsa turut menyertakan resit pembayaran kepada ejen terbabit kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X