Isnin, 29 November 2021 | 12:13pm

Bekas pengurus ladang tak mengaku rasuah

KUALA TERENGGANU: Bekas pengurus ladang tabung tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah bernilai RM27,500 berkaitan pembekalan barangan.

Tertuduh, Sauddin Che Lamin, 57, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengurus ladang didakwa menerima suapan antara RM2,500 hingga RM7,000 membabitkan keseluruhan suapan bernilai RM27,500 daripada dua syarikat.

Suapan itu sebagai upah kepada tertuduh untuk terus memilih dua syarikat itu untuk kerja-kerja pembekalan barangan kepada ladang berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang Tabung Tentera Terengganu, Kemaman antara Julai hingga Disember 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 3 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM pada setiap 1 hari bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ikhwan Zaudii Nordin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Tertuduh, Sauddin Che Lamin, 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas enam pertuduhan menerima rasuah bernilai RM27,500 berkaitan pembekalan barangan. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Tertuduh, Sauddin Che Lamin, 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas enam pertuduhan menerima rasuah bernilai RM27,500 berkaitan pembekalan barangan. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X