Isnin, 29 November 2021 | 12:06pm

2 anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM4,500

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan rasuah, termasuk menerima suapan RM4,500, Mac tahun lalu.

Lans Koperal Farid Rosni, 35, dan Konstabel Clinton Kudang Gangga, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Ahmad Kamal sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama meminta suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Amirul Hafiz Azmi, 23, sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perkara sebagai pegawai badan awam, iaitu melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya yang ditahan kerana memiliki air ketum di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melayu, Pandan, Johor Bahru, pada jam 6.30 petang 10 Mac 2020.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama secara rasuah bersetuju menerima suapan RM4,500 daripada Muhammad Amirul sebagai dorongan melepaskannya dan rakan, jam 9.45 malam di lokasi, waktu dan kesalahan sama.

Pertuduhan ketiga, mereka didakwa mencapai niat bersama memperoleh suatu suapan iaitu wang tunai RM4,500 daripada Rafsanjani Rosli, 33, sebagai dorongan untuk melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya, jam 10 malam di lokasi, waktu dan kesalahan sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 masing-masing mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Muhammad Faizuddin Abd Ra'fik.

Nur Mahirah menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Farid (berbaju hijau) bersama Clinton (bertopi dan berbaju hitam) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas tuduhan rasuah. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
Farid (berbaju hijau) bersama Clinton (bertopi dan berbaju hitam) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas tuduhan rasuah. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
Berita Harian X