Isnin, 29 November 2021 | 8:40am
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa nahas membabitkan dua kenderaan di KM34 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Hospital Sungai Siput, dekat sini, malam tadi. - Foto ihsan JBPM
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa nahas membabitkan dua kenderaan di KM34 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Hospital Sungai Siput, dekat sini, malam tadi. - Foto ihsan JBPM

Dua maut, seorang parah nahas dua kenderaan

SUNGAI SIPUT: Dua maut, manakala seorang lagi parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di KM34 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Hospital Sungai Siput, dekat sini, malam tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 10.14 malam, mangsa masing-masing berumur 20 dan 22 tahun yang menaiki Proton Saga FLX disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang parah adalah penumpang hadapan Proton Exora.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Ahmad Khaizam Mohd Shahabudin, berkata siasatan awal mendapati kereta dinaiki dua mangsa maut itu terbabas sebelum memasuki lorong laluan Proton Exora dari arah bertentangan ketika hujan.

"Ketika kejadian Proton Saga itu dari Ipoh menghala ke Kuala Kangsar, manakala Proton Exora dari arah bertentangan.

"Menerusi keterangan saksi di tempat kejadian, Proton Exora itu dilihat hampir memberhentikan kenderaannya sejurus sebelum pertembungan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.14 malam sebelum mengarahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput bagi operasi menyelamat.

Katanya, mangsa maut dalam keadaan tersepit dalam Proton Saga berkenaan.

Berita Harian X