Ahad, 28 November 2021 | 6:48pm
Keadaan Perodua Kancil yang terbabas ke kiri jalan di Kilometer 74 Jalan Air Sejuk, Setiu, yang mengorbankan seorang wanita. - Foto PDRM
Keadaan Perodua Kancil yang terbabas ke kiri jalan di Kilometer 74 Jalan Air Sejuk, Setiu, yang mengorbankan seorang wanita. - Foto PDRM

Perjalanan terakhir melawat jenazah bonda

SETIU: Perjalanan pulang ke kampung bagi menziarahi jenazah ibu di Kelantan, menjadi noktah kehidupan seorang anak apabila maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 74, Jalan Air Sejuk, Setiu di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, beralamat di Pulai Chondong, Kelantan dilaporkan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata mangsa dan suaminya, Muhamad Nazirul Rameli, 23, dalam perjalanan pulang dari Johor ke Machang, Kelantan menaiki Perodua Kancil.

Katanya, suami mangsa yang memandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki bahu kiri jalan.

"Mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan tercampak keluar dari kereta dan mengalami kecederaan parah.

"Anggota perubatan yang tiba untuk bantuan kecemasan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan.

"Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang menziarahi ibu mangsa yang meninggal dunia semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

  • Ibu dan anak dikebumi bersama
  • Berita Harian X