Ahad, 28 November 2021 | 10:51am
Anggota PGA, Nurman Hafiz Nordin ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang ke pelantar ikan di Batu 8, Lekir di Sitiawan. - Foto ihsan Bomba
Anggota PGA, Nurman Hafiz Nordin ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang ke pelantar ikan di Batu 8, Lekir di Sitiawan. - Foto ihsan Bomba

Anggota PGA terjatuh bot ditemukan lemas

SITIAWAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot dinaiki bersama abang dan anak saudaranya di perairan Lekir, di sini, malam tadi ditemukan lemas pagi ini.

Mangsa, Nurman Hafiz Nordin, 35, yang juga anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih keluar menangkap ikan terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang ke pelantar di Batu 8, Lekir.

Mayat mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh pada jam 8 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.09 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut dengan mendapat bantuan anggota BBP Seri Manjung.

"Mangsa pulang bercuti di kampung pergi ke laut bersama abangnya berusia 43 tahun dan anak perempuan abangnya berusia 11 tahun sebelum bot dinaiki mereka dikatakan bergoyang.

"Mangsa dan abangnya terjatuh ke laut kira-kira 1.8 kilometer dari pelantar ikan. Abang mangsa kemudian berjaya naik semula ke bot, manakala mangsa pula hilang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, abang mangsa cuba mencarinya tetapi gagal dan segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.

Berita Harian X