Ahad, 28 November 2021 | 9:02am
 Anggota bomba berusaha mengalihkan pokok yang tumbang menghempap sebuah kereta di Seksyen 15 Jalan Penchala, Petaling Jaya, awal pagi tadi. - Foto ihsan Polis
Anggota bomba berusaha mengalihkan pokok yang tumbang menghempap sebuah kereta di Seksyen 15 Jalan Penchala, Petaling Jaya, awal pagi tadi. - Foto ihsan Polis

Wanita cedera kereta dihempap pokok

PETALING JAYA: Seorang wanita cedera selepas kereta dinaiki bersama suaminya dihempap pokok tumbang di Seksyen 15 Jalan Penchala, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.09 pagi.

"Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat sebatang pokok berhampiran BBP Penchala yang berketinggian kira-kira sembilan meter tumbang dan menghempap sebuah kereta Honda City.

"Kereta berkenaan dinaiki seorang lelaki, B Jega, 39, bersama isterinya, M Nishalini berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari PJ Old Town menghala ke PJ State ketika kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, kedua-dua mangsa bertindak keluar dari kenderaan itu sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Kejadian itu menyebabkan isteri mangsa mengalami cedera ringan di kepala akibat terkena serpihan cermin pecah dan dihantar ke Hospital Subang Jaya Medical Centre oleh orang awam.

"Suami mangsa pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak bomba memotong pokok itu dan mengalihkannya ke lokasi selamat," katanya.

Berita Harian X