X
Ahad, 28 November 2021 | 8:54am

Pemilik akaun media sosial sebar gambar berunsur fitnah dikenal pasti

IPOH: Polis sudah mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang dipercayai menularkan gambar berunsur fitnah berhubung kejadian pergaduhan membabitkan empat individu sehingga menyebabkan kematian di Jalan Ashby di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya akan memanggil individu terbabit yang memuat naik gambar di tempat kejadian sehingga mendapat perhatian masyarakat umum yang memaparkan tindakan pegawai polis dari Balai Polis Sungai Senam di sini, meleraikan kejadian pergaduhan berkenaan.

"Siasatan sudah dijalankan dan gambar yang ditularkan itu diambil ketika anggota polis sampai ke tempat kejadian ketika seorang daripada suspek sedang bergelut dengan si mati.

"Polis telah bertindak cepat untuk menahan mereka yang terbabit sehingga berjaya menahan ketiga-tiga suspek di tempat kejadian.

"Orang ramai diminta supaya berhati-hati membuat ulasan sendiri yang tidak benar," katanya pada sidang media Pelancaran Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di sini yang berakhir kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Gambar yang ditularkan memperlihatkan seolah-olah pihak polis tidak meleraikan pergaduhan terbabit dan susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mior Faridalathrash berkata ketiga-tiga suspek masih dalam tahanan reman dan pihak polis akan merujuk hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Tiga bersaudara berusia 34 hingga 60 tahun, direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dalam pergaduhan di hadapan sebuah warung di Pasar Pagi Flat Ashby.

Mangsa Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dipercayai akibat dicekik semasa bergelut dalam pergaduhan dengan tiga lelaki terbabit kerana dikatakan mencuri 'portable speaker'. – BERNAMA

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid (kanan) melihat kad pengenalan pengguna jalan raya di sekatan jalan raya, Ops Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Jalan Tropicana, Bercham. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid (kanan) melihat kad pengenalan pengguna jalan raya di sekatan jalan raya, Ops Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Jalan Tropicana, Bercham. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X