Khamis, 25 November 2021 | 7:05pm
Kaki pekerja warga Indonesia yang tersepit dalam mesin pengisar. FOTO IHSAN BOMBA.
Kaki pekerja warga Indonesia yang tersepit dalam mesin pengisar. FOTO IHSAN BOMBA.

Jari kaki warga Indonesia hancur

JASIN: Seorang pekerja ternakan ikan terpaksa menahan kesakitan kira-kira satu jam selepas jari kaki kanannya tersepit dalam mesin pengisar, dalam kejadian di kolam ternakan ikan dekat Kampung Kemengkang, di sini, petang tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 3.30 petang, ketika mangsa seorang warga Indonesia berusia 45 tahun sedang memproses makanan ikan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II KUP Bukari Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.47 petang sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, ketika melakukan kerja memproses makanan ikan, mangsa dikatakan tiba-tiba tergelincir dan kemudian disedari rakannya yang bertindak menutup suis mesin pengisar.

"Rakan mangsa kemudian memaklumkan kepada penyelia merkea lalu menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan.

"Kerja menyelamat bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum berjaya dibawa keluar," katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Jasin bagi rawatan lanjut selepas jari kakinya hancur.

Berita Harian X