Rabu, 24 November 2021 | 3:21pm
Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid melakukan pemeriksaan ketika Ops Bersih di sebuah premis pembuatan roti di Jalan Kedah di sini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid melakukan pemeriksaan ketika Ops Bersih di sebuah premis pembuatan roti di Jalan Kedah di sini. - Foto NSTP/Mikail Ong

Jumpa najis tikus, kilang roti diarah tutup

GEORGETOWN: Kilang roti di Jalan Kedah di sini, diarahkan tutup berikutan gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) termasuk penemuan najis tikus.

Pada Op Bersih yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), pengendali makanan turut menggunakan troli bertingkat yang dipenuhi minyak tepu bagi meletakkan adunan roti.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata tindakan itu boleh menyebabkan pencemaran silang sekiranya minyak tepu berkenaan cair apabila roti dipanaskan.

Kilang yang beroperasi sejak 50 tahun lalu itu turut didapati menggunakan logo halal meragukan pada kotak produk sedangkan mereka tidak memperoleh sijil halal.

"Bukan sahaja kilang berkenaan, malah kebanyakan premis yang diserbu didapati menggunakan logo halal meragukan dan perkara ini membimbangkan terutama kepada pengguna Muslim.

"Kita tidak melarang tetapi ia perlu mendapat kelulusan pihak berwajib dan kita sudah nasihati mereka supaya tidak melakukan kesalahan itu lagi.

"Najis tikus juga ditemui di bahagian simpanan dulang roti selain di atas plastik pembungkusan. Kita turut mengarahkan pekerja terbabit supaya tidak lagi menggunakan plastik berkenaan yang dikhuatiri tercemar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, serbuan kedua di Jalan Pintal Tali, di sini, mendapati kilang membuat mi berkenaan turut dikesan tidak mematuhi PJKM.

Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), memeriksa kilang pembuatan mi di Jalan Pintal Tali, di sini. - Foto NSTP/Mikail Ong
Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), memeriksa kilang pembuatan mi di Jalan Pintal Tali, di sini. - Foto NSTP/Mikail Ong

Kilang yang sudah beroperasi sejak 80 tahun lalu itu turut didapati meletakkan makanan yang sudah siap diproses di atas lantai.

"Kita dapati produk mi bagi pasaran Pulau Pinang itu juga tidak mempunyai label dan hanya dibungkus dengan plastik.

"Kedua-dua premis itu pernah diserbu dan diperiksa pada tahun lalu, namun kita hanya memberikan notis kompaun dan amaran.

"Berikutan kedua-duanya terus melakukan kesalahan berulang, kita terpaksa menutup memberi notis penutupan selama 14 hari bagi kerja pembersihan," katanya lagi.

Arahan penutupan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Jabatan Kesihatan negeri turut mengeluarkan sebanyak tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 kepada kedua-dua premis.

Berita Harian X